Leka masak daun ketum

Posted by godonker on Friday, July 20, 2012

Leka masak daun ketum,
TELUK INTAN - Seorang penganggur yang sedang leka memasak daun ketum untuk dijadikan air rebusan sebelum menjualnya terkedu apabila rumahnya diserbu sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Nakortik Daerah di Kampung Belt, dekat sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi kelmarin, pihaknya membuat serbuan ke atas premis tersebut yang disyaki menjadi 'port' menjual air ketum.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, lelaki berusia 45 tahun itu yang sedang sibuk memasak daun ketum sewaktu kehadiran polis.

"Lelaki terbabit turut memberitahu dia adalah pemilik premis itu dan disyaki terlibat dalam aktiviti memproses serta menjual air ketum yang berada di luar rumah tersebut," katanya.

Tambahnya, anggotanya telah menjalankan pemeriksaan di kawasan luar dan dalam rumah tersebut dan menjumpai beberapa alatan yang disyaki digunakan untuk memproses serta menjual air ketum.

“Kami menjumpai satu unit bekas plastik berwarna hitam di dalamnya mengandungi 20.5 kilogram daum ketum, satu periuk logam besar yang berisi 25 kilogram campuran daun-daun ketum bersama-sama air ketum yang telah dimasak.

“Selain itu, satu unit dapur beserta tong gas dan alat penimbang serta plastik berwarna merah yang mengandungi 14 peket plastik berisi air ketum masing-masing mengandungi 450 mililiter setiap satu turut ditemui,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Mohamad Zaki berkata, siasatan lanjut mendapati premis itu dijadikan tempat penjualan air ketum untuk penduduk sekitar Labu Kubong dan Chenderong Balai sejak beberapa bulan lalu.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati suspek berjaya menjual antara 80 hingga 100 paket air ketum yang berharga RM3 sepeket dalam tempoh satu hari.

"Semua barangan kes yang dijumpai dalam premis tersebut dirampas dan suspek dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

“Hasil daripada ujian saringan awal mendapati air kencing suspek negatif tanpa sebarang kandungan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3)/(5) Akta Racun 1952 (Semakan 1989) yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment