Jerung baham, larikan mayat peluncur

Posted by godonker on Saturday, July 14, 2012

Jerung baham, larikan mayat peluncur,
SYDNEY: Seorang peluncur maut dibaham jerung di perairan barat Australia semalam, kata saksi dan pihak berkuasa.

Ia adalah kejadian kelima di kawasan itu dalam tempoh kurang dari setahun. Mangsa diserang ketika meluncur berhampiran Pulau Wedge di utara Perth pagi semalam bersama seorang rakannya.

Saksi berkata, jerung itu membaham badan mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

“Insiden itu amat mengerikan,” katanya. Beberapa detik selepas itu, katanya, air di situ kemerahan kerana darah dan jerung berkenaan mengelilingi sisa badan mangsa.

Saksi yang menaiki jet ski berkata, ikan berkenaan mungkin berukuran empat atau lima meter. “Apabila saya mencapai tubuh lelaki itu jerung berkenaan cuba menyerang dan saya berpusing sedikit jauh.

“Ketika saya pergi semula ke situ, jerung berkenaan melarikan tubuh lelaki terbabit,” katanya. Jerung putih - boleh membesar sehingga enam meter dan seberat dua tan - dikenali ramai hasil filem Jaws terbitan 1975.

Peronda pantai berkata, gerakan mengesan mayat lelaki berusia 20-an itu masih dijalankan. “Setakat ini (petang semalam) tiada kesan lelaki itu ditemui,” katanya. - AFP

Sumber : Hmetro

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment