Nama kedai cetus kemarahan

Posted by godonker on Wednesday, August 29, 2012

RAJESH SHAH menunjukkan kad perniagaannya.
AHMEDABAD, India - Sebuah kedai pakaian lelaki di India diminta menukar namanya selepas nama Hitler yang digunakan membangkitkan kemarahan masyarakat setempat.

Akhbar MailOnline melaporkan pemilik kedai berkenaan, Rajesh Shah mendakwa dia tidak menyedari nama kedainya, Hitler telah mencetuskan kontroversi.

Rajesh berkata, nama tersebut diperoleh daripada gelaran yang diberikan kepada rakan kongsi perniagaan datuknya.

Gedung pakaian itu yang terletak di Ahmedabad, dalam wilayah Gujerat, mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan komuniti orang Yahudi di bandar berkenaan.

"Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk menggunakan nama Hitler, saya hanya mengetahui bahawa dia seorang lelaki yang tegas," kata Rajesh.

"Cuma baru-baru ini saya tahu cerita tentang Hitler apabila saya melayari internet," tambahnya.

Menurut lelaki itu, dia sanggup menukar nama kedainya yang dibuka sejak dua minggu lalu jika dia dan rakan perniagaannya diberikan sejumlah pampasan ekoran mereka telah kehabisan wang.

Adolf Hitler merupakan diktator Jerman yang banyak melakukan pembunuhan dan jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua termasuk dikaitkan dengan penghapusan bangsa Yahudi. - Agensi

Sumber : Kosmo
More aboutNama kedai cetus kemarahan

Bom 250kg diletupkan

Posted by godonker

SUSUNAN gambar menunjukkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250kg diletupkan di pusat bandar Munich, Jerman kelmarin.
MUNICH - Sepasukan pakar letupan di Jerman meletupkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250 kilogram (kg) di pusat bandar raya ini.

Agensi berita Jerman, DAPD memetik seorang jurucakap polis sebagai berkata, bom lama itu berjaya diletupkan petang kelmarin.

Namun, beberapa serpihan bom yang terbakar menyebabkan beberapa bangunan berdekatan yang dikosongkan dijilat api.

Bom tersebut ditemui pada pagi Isnin lalu di daerah Schwabing di sini.

Usaha untuk mematikan bom berkenaan gagal dengan beberapa pakar memutuskan untuk meletupkan bom tersebut.

Pesawat-pesawat Tentera Berikat menggugurkan bertan-tan bom di Jerman semasa Perang Dunia Kedua untuk melumpuhkan tentera diktator Adolf Hitler.

Puluhan ribu bom itu yang belum meletup dipercayai masih berada di bawah tanah di Jerman. - AP

Sumber : Kosmo
More aboutBom 250kg diletupkan

NASA siarkan lagu pertama dari planet Marikh

Posted by godonker

Will.I.Am menyanyikan lagu Reach for the Stars di Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California di hadapan sekumpulan pelajar,
LOS ANGELES - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin menghantar lagu pertama untuk disiarkan dari planet Marikh sebagai sebahagian daripada usaha memberi inspirasi kepada golongan muda supaya berminat terhadap sains.

Lagu bertajuk Reach for the Stars nyanyian Will.i.am daripada kumpulan terkenal Black Eyed Peas itu dihantar semula oleh robot Curiosity yang kini sedang mendarat di planet merah tersebut sejak awal bulan lalu ke Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California.

"Rasanya seperti bermimpi," kata Will.i.am ketika menerangkan bagaimana pentadbir NASA, Charles Bolden menghubunginya untuk menyatakan cadangan menyiarkan lagu dari planet Marikh ke Bumi.

Lagu yang mengandungi lirik I know that Mars might be far, but baby it ain't really that far itu menggunakan 40 buah orkestra termasuklah hon Perancis dan bukan sekadar bunyi yang dijana secara elektronik.

"Saya mahu menunjukkan kerjasama antara manusia, ada orkestra, lagu yang tidak lapuk dek zaman dan boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai budaya. Bukannya irama hip hop atau dance," kata Will.i.am di hadapan sekumpulan pelajar. - AFP

Sumber : Kosmo
More aboutNASA siarkan lagu pertama dari planet Marikh

Jurutera bina robot kumbang

Posted by godonker on Sunday, August 26, 2012

Jurutera bina robot kumbang, Hitoshi Takahashi, Kabutom RX-03,
TOKYO - Seorang jurutera Jepun, Hitoshi Takahashi membina sebuah robot berbentuk seperti seekor kumbang gergasi dinamakan Kabutom RX-03.

Robot sepanjang 11 meter dengan berat 17 tan itu diperkenalkan kepada orang ramai dalam satu demonstrasi di sini semalam.

RX-03 boleh bergerak dengan menggunakan enam kakinya.

Dijana enjin diesel berkuasa tinggi, robot berkenaan turut mengeluarkan asap daripada hidungnya. - AFP

Sumber : Kosmo
More aboutJurutera bina robot kumbang

Neil Armstrong meninggal dunia

Posted by godonker

Neil Armstrong meninggal dunia, Neil Armstrong,
WASHINGTON: Manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, angkasawan terkenal Amerika Syarikat, Neil Armstrong, meninggal dunia, akibat sakit selepas menjalani pembedahan jantung, semalam.

Beliau berusia 82 tahun.

Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung selepas doktor mendapati arteri koronarinya tersumbat.

Sambil memujinya sebagai ‘wira Amerika,’ keluarganya berkata, kematian Armstrong menyedihkan mereka dan berkata, perintis angkasa lepas itu berbangga untuk berbakti kepada negaranya selaku juruterbang jet penggempur, juruterbang ujian dan angkasawan.

Armstrong dan rakan angkasawan Apollo 11, Edwin ‘Buzz’ Aldrin mendarat di permukaan bulan pada 20 Julai 1969 dengan disaksikan oleh ratusan juta manusia di seluruh dunia menerusi televisyen.

Kata-kata pertamanya selepas menjejakkan kaki pada permukaan bulan dicatatkan dalam sejarah: “Ia langkah kecil untuk seorang lelaki, lonjakan besar untuk manusia.

Presiden Barack Obama yang berusia kurang lapan tahun ketika peristiwa bersejarah itu menyifatkan Armstrong sebagai ‘wira Amerika paling hebat, bukan saja pada zamannya, tetapi sepanjang masa.’ Aldrin berkata, beliau merancang bertemu semula dengan Armstrong dan seorang lagi angkasawan Apollo 11, Michael Collins pada 2019 untuk meraikan ulang tahun ke-50 detik bersejarah itu tetapi nampaknya ia tidak akan menjadi kenyataan. - AFP

Sumber : Hmetro
More aboutNeil Armstrong meninggal dunia

Anak mati ditembak bapa, disangka monyet

Posted by godonker

Anak mati ditembak bapa, disangka monyet,
KATHMANDU: Seorang petani di selatan Nepal, menembak mati anak lelakinya berusia 12 tahun kerana disangka seekor monyet mahu mencuri tanamannya, kata polis semalam.

Chitra Bahadur Pulami memanjat pokok untuk menghalau monyet yang sering mengganggu keluarga mereka tetapi bapanya, Gupta Bahadur, 55 ternampak budak lelaki itu lalu melepaskan tembakan kerana menyangka anaknya itu adalah haiwan berkenaan.

Deputi Superintenden daerah Arghakhanci, Arun Poudel berkata, “Anak lelakinya itu menyorok di atas pokok di kebun mereka untuk menghalau monyet yang sering ke situ untuk mencari makanan di ladang jagung.” Katanya, kanak-kanak lelaki itu mati serta-merta selepas Gupta melepaskan tembakan. Siasatan awal kami mendapati, bapanya tidak sedar anak lelakinya itu pergi ke ladang jagung untuk menghalau monyet,” katanya.

Arun berkata, Gupta kini dalam tahanan polis dan senjata yang digunakan ketika menembak anak lelakinya itu, turut dirampas.

Tiga spesies monyet, berasal dari Nepal iaitu Rhesus dan Assam dan lotong biasa dianggap suci dan petani biasanya akan cuba menakutkan haiwan itu tanpa mencederakannya dari ladang mereka.

“Saya hanya sedar mengenai kesilapan saya apabila anak lelaki saya jatuh dan tersangkut di dahan pokok,” kata petani itu. - AFP

Sumber : Hmetro
More aboutAnak mati ditembak bapa, disangka monyet

Budak ‘otak kalkulator’ ingin masuk universiti

Posted by godonker on Friday, August 17, 2012

Budak otak kalkulator ingin masuk universiti,
Sumber gambar - LINK
LEICESTER: Ketika ramai remaja belasan tahun gementar apabila menduduki peperiksaan matematik A Level, Yasha Asley menyifatkannya sebagai amat senang dan dia hanya berusia tujuh tahun.

Kini, kanak-kanak yang berbakat luar biasa itu memperoleh kelulusan tertingggi ketiga peperiksaan A Level, pada usia 10 tahun.
Yasha, yang didakwa gurunya memiliki ‘otak seperti kalkulator, mencatatkan markah A* dalam subjek Statistik dan berharap untuk memasuki universiti.

Dia sebelum ini lulus subjek Matematik, juga dengan markah A* dan A dalam Matematik Tulen. Dia lulus kedua-dua subjek itu ketika berusia lapan tahun.

Asley menjadi orang paling muda di dunia mendapat gred A dalam Matematik, dengan mencatatkan 100 peratus dan 99 peratus dalam dua daripada enam kertas yang didudukinya dua tahun lalu.

Kanak-kanak dari Leicester itu berkata, dia tidak gementar ketika menduduki peperiksaan kertas Statistik tahun ini.

“Saya membuka kertas soalan, lihat soalan pertama dan mula menulis jawapan.
“Saya tidak gementar. Saya mungkin merasa lebih selesa berbanding pelajar lain,” katanya.

Bapanya, Moussa Asley, warga Iran berusia 49 tahun, membesarkan anaknya sendirian selepas bercerai dengan isteri.

“Ia mengesahkan jangkaan saya. Saya gembira dan bangga.

“Dia langsung tidak bekerja keras. Dia hanya melakukannya pada tahap minimum. Dia memang dilahirkan berbakat,” kata Moussa. - DM

Sumber : Hmetro
More aboutBudak ‘otak kalkulator’ ingin masuk universiti

10 tahun garfu dalam perut

Posted by godonker

Garfu dalam perut, Lee Gardner, GARDNER menunjukkan garfu yang dikeluarkan dari perutnya,
BARNSLEY: Apabila Lee Gardner bergegas ke hospital selepas muntah darah dan mengalami sakit perut yang amat sangat, dia bimbang keadaannya kesihatannya itu lebih teruk lagi.

Bagaimanapun, doktor di Barnsley terkejut apabila menemui garfu sembilan inci dalam perut lelaki itu dan lebih mengejutkan, ia berada di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

Pakar perubatan itu bertambah keliru lagi apabila Garner, 40 berkata, dia langsung tidak ingat tertelan garfu berkenaan.

Sepuluh tahun lalu, doktor berkata, garfu itu akan melalui sistem penghadamannya secara semula jadi dan dia menjangka ia sudah tidak ada lagi.

Tetapi, ia sebenarnya masih berada di dalam perutnya.

Garner kini sudah pulih sepenuhnya.

“Saya muntah darah dan apabila mereka memeriksa perut saya dengan kamera, doktor bertanya: ‘Adakah anda pasti anda tidak menelan sesuatu?’” katanya.

“Saya memberitahu mereka tidak tetapi doktor itu bertanya lagi: ‘Anda pasti?
Saya melihat sesuatu seperti garfu?’ Saya teringat menelannya secara tidak sengaja beberapa tahun lalu.

“Saya begitu terkejut. Saya tidak pernah menghadapi masalah dengan perut saya, kecuali beberapa tahun sebelum ini apabila saya merasakan ada sesuatu di dalam perut saya apabila saya membongkok.”

Tetapi nasihat doktor selepas saya tertelannya ialah ia akan melalui sistem penghadaman dalam perut saya dan itu sudah lama berlaku. Saya tidak pernah terfikir ia disebabkan garfu itu.

Gardner teringgat bagaimana dia bermain dengan garfu plastik dalam mulutnya beberapa tahun lalu apabila dia tercekik dan menelannya secara tidak sengaja.

Doktor di Hospital Barnsley menggunakan kamera untuk melihat dalam perutnya bagi mencari punca kesakitan yang dialami Garner apabila menemui objek misteri itu.

Imej menunjukkan kepala garfu itu terletak dalam perutnya dengan pemegangnya tersembul pada usus kecil.

Kepala garfu itu menekan pada perutnya hingga menyebabkan ulser yang membawa kepada pendarahan. - DM

Sumber : Hmetro
More about10 tahun garfu dalam perut

Jet hipersonik AS gagal ujian

Posted by godonker

Jet hipersonik AS gagal ujian, GAMBAR fail menunjukkan jet hipersonik X-51A diangkut dengan menggunakan sebuah jentera pengangkut di Pangkalan Tentera Udara Edwards, California, Amerika Syarikat pada 17 Julai lalu,
LOS ANGELES - Sebuah jet hipersonik tanpa juruterbang yang direka untuk terbang enam kali ganda melebihi kelajuan bunyi berkecai di Lautan Pasifik beberapa saat selepas melakukan penerbangan ujian ekoran masalah pada ekor pesawat, kata Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Menurut kenyataan tentera AS, masalah pada ekor pesawat X-51A atau Waverider itu dikenal pasti dalam penerbangan ujian pada Selasa lalu.

Masalah teknikal itu berlaku 16 saat selepas roket penggalak melepaskan jet kawalan jauh itu daripada sayap pesawat pengebom B-52.

"Selepas 15 saat apabila X-51A terpisah daripada roket penggalak tersebut, jet tersebut hilang kawalan akibat masalah pada ekornya," kata kenyataan tersebut.

Secara keseluruhan, penerbangan ujian tersebut berlangsung selama 31 saat sekali gus gagal mencapai matlamat tentera AS untuk X-51A berada di udara selama lima minit.

"Pesawat itu berkecai serta-merta dan jatuh ke dalam Lautan Pasifik dekat Mugu Point di barat daya bandar raya Los Angeles," kata seorang jurucakap Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson di Ohio, Daryl Mayer.

Menurutnya, jet X-51A itu direka untuk mencapai kelajuan Mach 6 atau 7,350.06 kilometer sejam.

Pada kelajuan tersebut, perjalanan dari Paris ke New York di AS sejauh 5,837 kilometer cuma mengambil masa sekitar 46 minit. - Agensi

Sumber : Kosmo
More aboutJet hipersonik AS gagal ujian

Mahasiswa potong rambut kali pertama selepas 10 tahun kerana mahu jadi pensyarah

Posted by godonker

Mahasiswa potong rambut kali pertama selepas 10 tahun kerana mahu jadi pensyarah, Timothy Price,
Sumber gambar - LINK
LONDON: Seorang mahasiswa yang menyiapkan ijazah kedoktorannya memotong rambut untuk kali pertama selepas kali terakhir melakukannya 10 tahun lalu.

Dia juga menawarkan rambutnya sepanjang lebih 91 sentimeter untuk dijual pada harga �600 (RM2,900).

Timothy Price, 29, kini mengikuti kursus kajian teologi dan ketuhanan di Universiti Aberdeen.

Kali terakhir dia ke kedai gunting rambut ialah pada Januari 2002. Dia memutuskan untuk menukar fesyen rambut sebagai persediaan menghadiri temu duga bagi mencari pekerjaan sebagai pensyarah. Price mahu memanfaatkan rambut itu dengan menawarkannya kepada sesiapa yang memerlukan rambut palsu. Bapa kepada dua anak itu berkata, dia mula menyimpan rambut sejak di universiti - satu amalan yang lazim di kalangan mahasiswa. “Kemudian saya berasa selesa dan gembira dengan gaya rambut panjang,” katanya. Bagaimanapun, berdepan dengan temu duga untuk mendapatkan pekerjaan, Price berpendapat, lebih baik dia memulakan ‘hidup baru’ tanpa rambut panjang. Walaupun 10 tahun tidak bergunting, Price berkata, dia tidak gementar ketika rambutnya dipotong.

“Saya cukup bersedia berubah dan mahukan sesuatu yang berbeza,” katanya. Sementara itu, isteri Price, Joy, 25, mengakui terkejut melihat wajah baru lelaki itu tanpa rambut panjang.

“Sejak berkenalan dengan Price, saya tak pernah nampak dia berambut pendek,” katanya. - TS

Sumber : Hmetro
More aboutMahasiswa potong rambut kali pertama selepas 10 tahun kerana mahu jadi pensyarah

Arab Saudi sumbang AS$50 juta kepada etnik Rohingya di Myanmar.

Posted by godonker on Monday, August 13, 2012

SEJUMLAH penduduk Muslim di Jakarta, Indonesia semalam memegang kain pemidang bagi mendesak keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan,
RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil) mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM155.79 juta) dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.

Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, penduduk Muslim itu menjadi sasaran serangan pembunuhan, rogol, perpindahan secara paksa dan pembersihan etnik.

"Raja Abdullah telah mengarahkan bahawa bantuan berjumlah AS$50 juta akan diperuntukan kepada warga Muslim Rohingya di Myanmar," menurut satu laporan yang disiarkan media Arab Saudi semalam.

Bagaimanapun, media itu tidak menyatakan pihak yang melakukan penderaan ke atas etnik Rohingya.

Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan pada 1 Ogos lalu bahawa etnik Rohingya ditangkap beramai-ramai, dibunuh dan dirogol anggota-anggota pihak berkuasa.

Terdapat 800,000 etnik Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai penduduk di Myanmar.

Pada minggu lalu, Kabinet Arab Saudi mengutuk keganasan terhadap penduduk Muslim di Myanmar.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak anggota-anggotanya menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.

Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Kumpulan etnik Rakhine kemudian menyerang penduduk Rohingya sehingga menyebabkan sebahagian mereka melarikan diri ke Bangladesh. - Agensi

Sumber : Kosmo
More aboutArab Saudi sumbang AS$50 juta kepada etnik Rohingya di Myanmar.

Hutang PTPTN 17,441 siswazah dilupus

Posted by godonker

DASAR PTPTN menukar status pinjaman kepada biasiswa bakal menjadi pendorong kepada lebih ramai pelajar memperoleh ijazah kelas pertama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Seramai 17,441 siswazah dikecualikan daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan peruntukan berjumlah RM486.9 juta berikutan kejayaan mereka memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said (gambar kecil) berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 13,011 peminjam dikecualikan membayar balik pinjaman melibatkan peruntukan sebanyak RM370.7 juta apabila pinjaman mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Menurutnya, jumlah itu meningkat kepada 17,441 graduan selepas mengambil kira 4,430 lagi peminjam yang lulus dengan ijazah sarjana kelas pertama pada tahun 2005, 2006 dan 2007 membabitkan nilai pinjaman RM116.2 juta.
“Peminjam yang lulus dengan kelas pertama pada tahun 2005, 2006 dan 2007 itu dulu tidak mendapat pengecualian tersebut, namun kerajaan baru-baru ini telah bersetuju melupuskan pinjaman mereka,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.

Sumber : Kosmo
More aboutHutang PTPTN 17,441 siswazah dilupus

Potong tembikai dengan daun terup

Posted by godonker

TONGXIN berlatih dua jam setiap malam.
SHANGHAI: James Bond mampu melakukan pelbagai perkara aneh, termasuk memotong konkrit dengan topi kelulinya.

Dia bagaimanapun pasti tertarik dengan Ye Tongxin yang mampu memotong buah dan sayur dengan daun terup plastik.

Tongxin, 48, warga China, berusaha mencatatkan rekod baru Guinness selaku orang terbaik di dunia untuk melakukannya.

Ia mungkin kelihatan mudah tetapi dia menjalani latihan sejak 10 tahun lalu untuk melakukannya.

Pengurus bas sekolah di Nanjing di wilayah Jiangsu, timur China itu, berlatih dua jam setiap malam, membaling kad sepantas sebuah kereta api laju.

Timun atau labu mungkin kelihatan mudah untuk dipotong kerana kulitnya yang rapuh.

Tetapi tidak seperti ninja lain yang mahir dalam membaling kad, Tongxin berupaya memotong epal dan tembikai dengan begitu mudah.

Dia menggunakan bingkai setinggi dua meter untuk menggantung beg berbentuk timun untuk berlatih membaling dan meningkatkan kemahirannya.

Menurut Tongxin, kad yang dibalingnya bergerak selaju 50 meter dalam setengah saat. Ini bermakna, kad itu terbang dari tangannya selaju 360 kilometer sejam.

Persembahan terbaiknya ialah memotong sebaris 12 timun dalam masa 47.2 saat.
Bagaimanapun, matlamat Tongxin ialah memotong 18 timun kurang daripada seminit bagi mencipta rekod baru dunia. - DM

Sumber : Hmetro
More aboutPotong tembikai dengan daun terup