KUALA LUMPUR: Seorang pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak seorang tukang cuci bulan lepas.
Muhammad Amrullah Wasman, 20, didakwa merompak K. Periakha, 56, dengan melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM200, seutas rantai tangan emas, telefon bimbit dan kad pengenalan mangsa.
Muhammad Amrullah, pelajar sebuah institut kemahiran di Johor Baharu, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mutiara Raya, Taman Mutiara Barat di sini pada jam 9.30 pagi, 18 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 24 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Amrullah, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana bapanya hanya menguruskan pusat perkhidmatan mencuci kereta.
Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun Muhammad Amrullah hanya perlu membayar RM2,000 hari ini dan sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah, penjamin perlu membayar selebihnya iaitu RM8,000.
Komathy juga mengarahkan pelajar itu melaporkan diri di Balai Polis Larkin, Johor, sebulan sekali dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan kes. - Bernama
Sumber : Hmetro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment