KUANTAN - Jeritan seorang bapa meminta tolong selepas melihat anak lelakinya diikat empat perompak berjaya membebaskan empat sekeluarga itu daripada cengkaman penjenayah terbabit dalam satu kejadian samun di Bandar Putra, Peramu dekat sini, awal pagi kelmarin.
Empat perompak dipercayai warga asing itu bagaimana pun sempat melarikan sebuah komputer riba dan telefon bimbit membabitkan kerugian kira-kira RM3,600.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, perompak yang memakai penutup muka bersenjatakan pemotong besi dan kayu itu dipercayai memecah masuk kediaman milik seorang pelukis pelan itu melalui pintu sisi yang diumpil.
Menurutnya, ketika kejadian, pemilik rumah berusia 55 tahun dan isterinya berusia 49 tahun sedang tidur di bilir tidur utama.
“Kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki itu dikejutkan dengan jeritan anak perempuannya berusia17 tahun yang tidur di bilik berasingan.
“Terkejut dengan jeritan itu, bapa terbabit segera bangun dan keluar untuk melihat kejadian yang berlaku,” katanya, semalam.
Noor Asyikin berkata, Lelaki terbabit terkejut apabila melihat kedua-dua anaknya termasuk anak lelaki berusia 23 tahun berada di dalam genggaman empat lelaki bertopeng dalam keadaan tangan terikat menggunakan dawai pagar.
“Kehadiran pemilik rumah itu menyebabkan perompak terbabit membatalkan niat untuk turut mengikat anak gadis mangsa,” katanya.
Beliau berkata, terkejut dengan kehadiran empat lelaki asing itu, mangsa berlari masuk semula ke bilik tidurnya sambil menjerit sekuat hati meminta tolong.
“Pada masa yang sama, lelaki itu sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.
Menurutnya, melihat kelakuan mangsa itu, keempat-empat suspek menggelabah sebelum lari lintang-pukang bersama sebuah komputer riba dan telefon bimbit mangsa.
“Pihak polis menerima panggilan berhubung kes tersebut jam 4.40 pagi sebelum beberapa anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya.
“Hasil siasatan awal mendapati perompak terbabit mengumpil pintu sisi sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah tersebut dan dipercayai menggunakan laluan sama untuk melarikan diri,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment