HMETRO : Padah tolak lamaran, 1 keluarga diserang

Posted by godonker on Thursday, December 1, 2011

KUNDUZ: Seorang gadis berusia 17 tahun dan keluarganya disembur dengan asid, dipercayai kerana menolak lamaran.

Gadis berkenaan, Mumtaz cedera parah apabila asid itu disembur pada mukanya oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang memecah masuk ke rumahnya di Kunduz, utara Afghanistan, semalam.

Ibu dan empat adik perempuannya melecur seditkit dalam serangan itu selepas mereka terkena asid yang disasarkan ke arah Mumtaz, kata bapa mangsa, Sultan Mohammad.

Serangan itu adalah antara bahaya yang masih dihadapi ramai wanita Afghanistan selepas 10 tahun pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat menggulingkan kerajaan Taliban, yang didakwa menjalankan dasar yang menindas wanita.

“Kejadian berlaku pada tengah malam. Mereka memecah masuk ke rumah saya sebelum memukul dan memasukkan saya ke dalam beg besar. Mereka kemudian memukul isteri dan anak saya. Sebelum meninggalkan rumah kami, mereka menyemburkan asid ke muka Mumtaz,” kata Sultan.

Mangsa yang sukar bercakap dan masih dirawat di hospital berkata: “Pada mulanya mereka memukul saya, kemudian ibu dan adik saya sebelum melemparkan asid ke muka saya.” Sultan menyalahkan seorang pemerintah militia yang melamar Mumtaz tetapi ditolak oleh keluarga itu.

“Seorang lelaki melamarnya. Kami menolaknya dan Mumtaz ditunangkan dengan lelaki lain. Saya mengesyaki lelaki itu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya.

Penyerang melarikan diri sebelum polis tiba di tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Bismullah Mohammadi, secara peribadi mengarahkan polis menyiasat dan menghukum mereka yang terbabit.

Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Afghanistan mencatatkan 1,026 kes keganasan terhadap wanita pada suku kedua tahun ini berbanding 2,700 kes sepanjang tahun lalu.

Kira-kira 87 peratus wanita Afghanistan mengadu berdepan dengan keganasan fizikal dan seksual. - AFP

Sumber
Hmetro

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment